
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Penampang: Dua ‘geng lastik’ berjaya ditahan, manakala seorang lagi masih diburu selepas didapati aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar daerah Penampang, Papar, Kota Kinabalu dan Tuaran.
Tiga rakan karib yang dikatakan berkenalan ketika menjalani hukuman penjara bersama-sama pada tahun 2014 dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan nilai RM838,000.
Dua daripada suspek ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Manggatal, 17 April lalu dan berjaya menemui beberapa barangan hasil curi kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dua yang ditahan berusia 27 dan 37 tahun manakala seorang lagi yang masih bebas dikenali sebagai Eddy Christopher Jinni, 34 tahun.
Katanya, dua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai kes jenayah serta senarai dikehendaki dan mereka kini direman selama lima hari sehingga hari ini.
“Hasil siasatan, kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi dengan ‘melastik’ batu ke tingkap sasaran untuk memastikan rumah berkenaan ditinggalkan penghuni.

”Selain memecah masuk untuk melarikan barang berharga, geng ini juga akan turut melarikan kenderaan yang ditinggalkan oleh pemilik rumah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Mohd Haris berkata, setakat ini, polis berjaya merampas beberapa barangan berharga yang dicuri kumpulan berkenaan termasuk peti besi dan empat kenderaan yang dicuri sebelum ini.
“Antara kenderaan yang berjaya dirampas semula adalah Honda Jazz dan Honda HRV, Toyota Vios serta Isuzu D-Max,”
Mohd Haris berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk pecah rumah dan Seksyen 379A akta sama untuk kesalahan curi kenderaan.

Sehubungan itu, Mohd Haris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang masih bebas supaya tampil membantu siasatan.
Tamat





