Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang dipercayai cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan memakai baju celoreng untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) gagal apabila dia ditahan di Batu 7, Jalan Tuaran, Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 1.51 petang itu, lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan menunggang motosikal Honda EX5 menuju ke Kampung Inanam Laut, Inanam untuk berjumpa pakciknya.
Bagaimanapun, sebaik sampai di pusat SJR, lelaki berkenaan terus ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, soal siasat mendapati, suspek bukan anggota yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, sebaliknya baju berkenaan diperoleh daripada bapa saudara suspek.

“Polis mengesyaki tujuan suspek memakai baju berkenaan adalah untuk membiarkan petugas sekatan jalan raya mempercayai dirinya sebagai anggota ‘FRONTLINER’ supaya dapat melepasi sekatan jalan raya.
“Suspek mengaku dalam perjalanan dari Taman Sri Rugading Tuaran ke Kampung Inanam Laut, Inanam untuk berjumpa dengan pakcik suspek,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Habibi berkata, suspek disyaki dengan sengaja tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan sebagaimana mengikut perintah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan) 2020.
Katanya, perbuatan cuai suspek mungkin berpotensi merebakkan jangkitan penyakit yang merbahaya kepada nyawa, kesihatan dan keselamatan manusia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,”katanya.
Tamat






