Remaja Mabuk Dan Positif Dadah Rempuh Sekatan Jalan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

LAHAD DATU: Bukan saja mabuk malah didapati positif dadah. Itu keadaan seorang remaja perempuan yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Muhibbah, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, remaja berusia 18 tahun terbabit turut merempuh seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sehingga terseret beberapa meter.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Lahad Datu


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya dan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Bagaimanapun katanya, sebaik sampai ke lokasi kejadian, suspek gagal mengawal kenderaannya dan terus merempuh sekatan jalan berkenaan.

“Anggota PGA yang dirempuh dilaporkan patah tangan kanan dan cedera di dahi. Mangsa kini ditempatkan di Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati ketika kejadian suspek memandu laju dalam keadaan mabuk,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Nasri berkata, remaja perempuan itu sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah dan pemeriksaan turut menjumpai dadah di badan suspek.

“Selain itu, siasatan turut mendapati suspek l tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Tamat