Lapan Kertas Siasatan Dibuka dan 18 Ditahan Sepanjang PKP Fasa 3 – IPD Tenom

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Tenom: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom membuka lapan kertas siasatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3, yang berakhir 28 April lalu.


Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, semua kertas siasatan itu dibuka membabitkan penahanan 18 individu di daerah ini sepanjang dua minggu fasa berkenaan.

Katanya, semua kesalahan itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.

“Kesalahan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Peraturan 11, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

“Tindakan pemantauan akan diteruskan dalam PKP fasa empat ini dalam usaha memastikan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Hasan memberitahu pada 29 April lalu, seramai tiga orang lelaki berusia 55 tahun hingga 80 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Keningau.

Katanya, pendakwaan itu dilakukan sebaik kertas siasatan selesai selepas semua individu berkenaan direman selama 4 hari untuk membantu siasatan.

“Pendakwaan dilakukan oleh Asisten Superintendan Abdullah Ismail di hadapan Majistret Marlina Ibrahim terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

“Dalam pendakwaan itu, semua tertuduh mengaku salah dan Majistret menetapkan hukuman denda RM300 atau 3 hari penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.

Hasan berkata, ketiga-tiga tertuduh yang ditahan terbabit dalam aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam pada 26 April lalu itu bagaimanapun hanya membayar denda.

tamat