Lima Bersaudara Ditahan Dalam Sesi Berkumpul Sambil Minum Arak.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tuaran: Sesi bergembira sambil minum arak lima bersaudara berakhir malang apabila semua mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kotonuan Baru, Kiulu, hari ini.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, kelima-lima lelaki berusia 19 hingga 42 tahun terbabit didapati sedang leka bersembang meminum minuman beralkohol jenis arak dan montoku tanpa mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, bertindak atas maklumat dan aduan awam, polis melancarkan operasi Ops Pintas Khas Covid-19 ke rumah berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, kelima-lima lelaki terbabit didapati sedang minum arak bersama dan polis terus menahan semua lelaki berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati semua tangkapan adalah lelaki tempatan dan mempunyai hubungan tali persaudaraan antara satu dengan yang lain.

“Lokasi serbuan adalah rumah milik salah seorang daripada saudara mereka yang ketika itu tidak berada di rumahnya,”katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, semua tangkapan akan direman selama empat hari bermula esok hingga Selasa depan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan & Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2020.

“Bagi seksyen ini, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (3) 2020, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak labih RM 1,000.00 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihati orang awam supaya tidak berhimpun atau terlibat dengan mana-mana perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

Selain itu katanya, seseorang individu hanya boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan yang lain hanya dengan tujuan seperti membeli makanan, ubatan atau keperluan harian.

“Masyarakat juga diminta untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kekal di rumah, sentiasa memakai topeng muka dan kerap cuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, serta sentiasa mengamalkan penjarakan sosial supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19,”katanya.

Tamat