Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PUTRAJAYA: Perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi tujuan bekerja dan pulang ke rumah sendiri selepas terkandas di kampung atau tempat lain.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung halaman masing-masing terutamanya pada cuti perayaan Aidilfitri juga tidak dibenarkan.
Selain itu katanya, buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi juga masih belum dibenarkan untuk memulakan operasi.
“Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai ini akan disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan penularan kes jangkitan COVID-19.
“Selain daripada senarai yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan untuk beroperasi namun tertakluk kepada syarat dan peraturan semasa serta SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja, hari ini.
Muhyiddin berkata, SOP yang ditetapkan termasuk penjarakkan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka dan melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19.
Katanya, ini termasuk memberi keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Begitu juga dengan individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Ini termasuk bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online,” katanya.
tamat






