Gurauan Melampau

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TENOM: Bunyi tangisan ‘kuntilanak’ menangis yang tular di media sosial sejak pagi tadi dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab untuk cuba menakutkan petugas sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Tenom – Sipitang, semalam.

Kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu disedari lima anggota terdiri daripada tiga anggota polis dan dua anggota Rela di pusat pemeriksaan berkenaan.

Mereka terus cuba mengesan punca bunyi berkenaan yang kemudiannya hilang selepas beberapa saat namun sempat dirakam anggota petugas lain.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, bunyi yang dikatakan makhluk halus itu tidak wujud dan beliau percaya perbuatan tidak bertanggungjawab itu cuba menakutkan anggota bertugas.

Katanya, lokasi itu sememangnya berlaku di Jalan Tenom – Sipitang namun bunyi tangisan wanita itu sebenarnya diambil daripada Youtube yang bertajuk ‘Kuntilanak menangis’.

“Sama ada mereka cuba menakutkan ataupun cuba bergurau. Namun polis akan menyiasat perkara itu.

“Pagi tadi, sepasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi berhampiran dan kita menemui satu lokasi di atas bukit dengan kesan baru ditebas yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, pihaknya percaya rakaman suara wanita menangis yang diambil dari youtube itu mungkin dimainkan dari lokasi berkenaan menggunakan pembesar suara.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang dan kita bagi amaran kepada pihak berkenaan supaya menghentikan perbuatan itu dan polis akan menjalankan siasatan untuk mengesan pelakunya.

“Jika didapati pelakunya kita akan disiasat mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dan dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah  Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.4) 2020, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

tamat