Jumlah SJR Akan Dikurangkan Mengikut Kesesuaian.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Bilangan Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan bandaraya ini akan dikurangkan bergantung kepada kesesuaian semasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesesuaian jumlah SJR itu akan dinilai semula pada 4 Mei ini berdasarkan syarat PKPB yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Katanya, setakat ini, jumlah SJR yang dilaksanakan di bandaraya ketika ini adalah sebanyak enam pusat pemeriksaan dan ianya mungkin akan dikurangkan.

“Ketika ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melaksanakan enam sekatan jalan raya di lokasi yang ditetapkan dan jumlah ini mungkin dikaji sema berdasarkan pergerakan orang awam sebaik PKPB dilaksanakan Isnin ini.

“Jika keadaan stabil serta dalam keadaan yang terkawal kita akan mengurangkan kepada lima sekatan sahaja. Iaitu di pusat sekatan yang dilihat tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan sekatan jalan raya di Jalan Kepayan, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Habibi berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap premis yang dibenarkan beroperasi seperti restoran bermula minggu depan.

“Pemeriksaan menumpukan premis serta restoran ala pusat hiburan, walaupun pada dasarnya ia beropearasi menggunakan konsep restoran tetapi kita tidak membenarkan premis yang berbentuk pusat hiburan untuk beroperasi berikutan risiko yang dihadapi.

“Jika ada maklumat berkenaan operasi restoran berkonsepkan pusat hiburan, kita akan mengarahkan pemilik premis untuk menutupnya serta merta,” katanya.

tamat