Anggota Polis Cedera Bergelut Dengan Dua Penjenayah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Ranau: Seorang anggota polis Cawangan Khas cedera selepas terpaksa bergelut dengan dua lelaki yang bertindak agresif ketika cuba ditahan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit adalah antara tiga suspek berusia 32 hingga 37 tahun yang ditahan di kawasan simpang masuk Sekolah Agama Negeri (SAN) Tagudon Lama, di sini, selepas didapati memiliki dadah.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek tiba-tiba bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga anggota polis cedera di muka dan tangan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, hasil kecekapan beberapa lagi anggota polis di lokasi kejadian akhirnya berjaya menahan kedua-dua suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas tiga paket berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dengan berat anggaran 0.51 gram.

“Semua dadah itu disembunyikan di dalam bekas cermin mata bersama peralatan menghisap dadah di dalam Mitsubishi Pajero yang dipandu salah seorang suspek.

“Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga  suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sammy berkata, semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) akta yang sama.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati semua suspek pernah ditahan dan didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 12 dan 15 ADB 1952 membabitkan kawasan sekitar Ranau, Menggatal dan Kota Kinabalu.

“Pihak polis juga percaya semua suspek terbabit menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah ini.

“Dalam masa sama, pihak polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis,” katanya.

Sammy berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Ketiga-tiga suspek juga akan dituduh mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,”katanya.

Sementara itu, Sammy berkata, pihak polis akan terus menguatkuasakan pembenterasan najis dadah di daerah ini bagi mengelak gejala sosial dan jenayah berleluasa.

Katanya, orang ramai juga disaran supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di sekitar Ranau.

Tamat