photo: CV Chong
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bertegas mengekalkan pendirian meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei depan.
Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan persekutuan, baru-baru ini, memerlukan kajian mendalam dan penelitian yang lebih terperinci untuk digunapakai di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan mengenai siapa mempunyai kuasa melebihi siapa, kerana ia membabitkan nyawa manusia.
Katanya, selepas 12 Mei, kita akan membuat keputusan sektor mana yang akan dibuka kerana ia perlu ada persediaan dan langkah yang perlu diikuti.
“Kerajaan negeri perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan nyawa manusia di negeri ini terlebih dahulu sebelum membuka lebih banyak sektor ekonomi.
“Kita perlu memahami keadaan persekitaran negeri sama ada boleh atau tidak melaksanakan apa yang baharu diputuskan kerajaan persekutuan,”katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Covid-19 oleh Osimal Foundation di Hospital Mesra Bukit Padang, di sini, hari ini.
Mohd Shafie berkata, setiap keputusan yang diputuskan kerajaan persekutuan perlu berhubung dengan kerajaan negeri terlebih dahulu untuk membuat persediaan bagi melaksanakan PKPB berkenaan.
“Kita akan buka sektor ekonomi, namun kita tidak boleh pulihkan ekonomi dengan nyawa manusia.
“Sebab itulah kita memerlukan persediaan, penelitian dan kajian sebelum ia dilaksanakan,”katanya.
Untuk rekod, semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pelaksanaan PKPB atau PKP5 sudah diwartakan dan perlu dipatuhi.
Katanya, semua negeri tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Bagaimanapun, keputusan itu menerima pelbagai maklum balas berbeza dari beberapa kerajaan negeri.
Tamat








