asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Bau busuk yang dihidu rakan di rumah sewa di Pekan Manggatal, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga India, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun ditemui selepas polis melakukan pemeriksaan di bilik berkenaan sebaik menerima laporan daripada salah seorang penyewa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis yang dikerah ke lokasi menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan disyaki sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari lalu.
Katanya, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di kerah ke lokasi bagi tindakan lanjut dan mengambil langkah keselamatan pencegahan Covid-19.
“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri sejak enam bulan lalu dan bekerja di restoran berhampiran.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua hari yang lalu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Habibi berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa pernah menceritakan dia menghidap masalah sakit jantung serta tekanan darah tinggi.
“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk dapatkan pemeriksaan lanjut Covid-19 sebelum bedah siasat,” katanya.
Habibi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
tamat







