KPDNHEP Periksa 13,444 Premis Sepanjang PKP Di Sabah

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 13,444 premis perniagaan di negeri ini, sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, pemeriksaan itu membabitkan pelbagai jenis premis perniagaan meliputi kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negeri ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 37 tindakan kes berjaya dikesan sepanjang PKP mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Hasil daripada semua kes berkenaan, KPDNHEP turut berjaya merampas pelbagai barangan bernilai RM298,077.15.

“Selain itu, sebanyak 16 kes juga sudah dikompaun membabitkan nilai sebanyak RM7,100,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

George berkata, pemeriksaan yang dijalankan itu membabitkan seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga dari pejabat KPDNHEP seluruh Sabah.

“Ini membabitkan lapan pejabat cawangan terbabit secara khusus bagi melakukan pemeriksaan ke atas lokasi-lokasi tumpuan pengguna berbelanja di sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

“Kita juga komited untuk memastikan pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas bekalan dan harga barang keperluan isi rumah sepanjang PKP dan PKPB,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga merekodkan sebanyak 278 aduan yang diterima bagi tempoh berkenaan.

“Sejumlah 231 daripada keseluruhan aduan pengguna sudah diselesaikan manakala baki sebanyak 47 aduan lagi masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa hasil pemantauan dan pemeriksaan ke atas pengeluar, pemborong dan peruncit sepanjang PKP ini mendapati bekalan barang keperluan adalah mencukupi, stabil dan mudah diperoleh.

“Disamping itu, kita juga memastikan Program Penyeragaman Harga berjalan dengan lancar walaupun dalam tempoh PKP.

“Selain itu, sempena perayaan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang menjalang tiba, pemeriksaan ke atas semua peringkat rantaian makanan akan dipertingkatkan lagi.

“Ini bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan dalam tempoh PKP berkuatkuasa dan sesiapa yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan akan diambil tindakan.

Tamat