Tambahan Dua Kes Positif Covid-19.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Dua lagi kes positif Covid-19 baharu, direkodkan di negeri ini, semalam, membabitkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kedua-dua kes berkenaan dikesan menerusi saringan yang dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan UMS.

Katanya, dua pelajar berkenaan sudah dimasukkan ke wad hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setakat ini, proses kawalan dan pencegahan di UMS masih giat dijalankan namun punca jangkitan itu masih dalam siasatan.

“Berdasarkan kes baharu itu, secara keseluruhannya kita sudah merekodkan tiga kes pelajar UMS yang positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Dr Christina berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan antara penuntut institusi pengajian tinggi yang dibenarkan pulang ke kampung masing-masing.

Sementara itu, Christina berkata, sejak semalam, semua yang pulang negeri ini termasuk pelajar daripada Semenanjung Malaysia diwajibkan menjalani kuarantin di tempat yang diwartakan.

Katanya, ini ekoran daripada peningkatan kes di Sabah membabitkan kepulangan rakyat Sabah dari luar negeri selain masalah kepatuhan mereka kepada perintah kuarantin di rumah masing-masing berdasarkan kes sebelum ini.

Untuk rekod, dua kes baharu membabitkan pelajar UMS itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 330 kes setakat ini.

Tamat