AADK Sabah Tahan 61 Penagih Sepanjang PKP

Antara yang ditahan dalam operasi khas AADK Sabah. Pic Ihsan AADK

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah menahan seramai 61 penagih dadah dalam operasi khas di beberapa daerah di negeri ini sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, sepanjang operasi bermula 6 Mei hingga semalam itu, pihaknya menahan dan memeriksa seramai 66 individu yang disyaki penagih dadah.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 61 termasuk pasangan suami isteri didapati positif dadah jenis syabu dan hanya seorang didapati positif ganja.

“Daripada 61 individu yang positif dadah, 58 adalah lelaki manakala tiga lagi wanita dan individu yang ditahan berusia 17 hingga 61 tahun.

“Operasi khas ini membabitkan sembilan daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau, Tuaran, Beaufort, Kudat, Ranau dan Labuan,” katanya dalam sidang media di Pejabatnya di Wisma San Hin, di sini, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, disebabkan operasi dilakukan ketika PKP, setiap anggota AADK disarankan supaya memakai penutup hidung dan mulut, cecair basmi kuman (hand sanitizer) dan kelengkapan lain bagi mengelak sebarang jangkitan wabak.

“Begitu juga dengan suspek yang diperiksa dan ditahan, kita turut melakukan ujian suhu menggunakan alat pengesan suhu,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, operasi khas dalam tempoh PKP ini bertujuan untuk menghalang, menyekat, dan mengurangkan permintaan dadah di kalangan pengguna dan penagih dadah.

“AADK Sabah akan meneruskan operasi ini demi untuk membendung penularan masalah sosial khususnya penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Sebarang aduan berhubung masalah dadah boleh menghubungi AADK Sabah di talian 088-243610 atau 088-243576 atau orang ramai boleh menghubungi talian Hotline AADK yang beroperasi 24 jam di talian 03-89112233/0196262233,” katanya.

Tamat