Seorang Warga Asing Ditahan dan 16 Saman Dikeluarkan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Seorang lelaki warga asing ditahan manakala 16 saman dikeluarkan dalam operasi mencegah kegiatan jenayah, aktiviti dadah dan kesalahan lalu lintas di musim perayaan ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan membabitkan rondaan, sekatan jalan dan pemeriksaan ‘snap check’ sepanjang sambutan Pesta Kaamatan.

Katanya, pemeriksaan itu dijalankan di kawasan kediaman dan premis perniagaan serta lalu lintas di Daerah Penampang dan Daerah Putatan sepanjang sambutan itu.

“Operasi bersepadu pencegahan jenayah hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah itu dijalankan sebagai satu inisiatif mencegah kegiatan jenayah di musim perayaan ini.

“Walaupun aktiviti jenayah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menunjukkan pengurangan yang ketara, namun jenayah masih boleh berlaku jika orang ramai tidak berwaspada dan lalai,” katanya dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, lelaki warga asing berusia 30-an itu ditahan mengikut Akta Imigresen manakala kenderaannya Toyota Avanza turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

Manakala katanya, 16 saman pula dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam sekatan jalan raya yang diadakan sepanjang dua hari perayaan Pesta Kaamatan.

Sementara itu, Mohd Haris menasihati masyarakat di Daerah Penampang supaya sentiasa mematuhi PKPB dan mengamalkan langkah pencegahan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Polis juga mengingatkan masyarakat supaya memastikan amalan penjarakan sosial ketika berurusan di tempat awam seperti di pasar, pasaraya atau pusat tumpuan ramai,” katanya.

Tamat