
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pemandu teksi berdaftar di Sabah akan mula dibayar bermula 15 Jun depan.
Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 2,099 orang pemandu teksi yang berdaftar namun hanya 1,771 orang diluluskan untuk menerima bantuan kewangan ini.
Katanya, 328 lagi pemandu teksi masih dalam semakan untuk kelulusan dan perkara itu telah dimaklumkan dalam surat yang diberikan Kementerian Kewangan pada 2 Jun lalu.
“Kelewatan pemberian bantuan kewangan RM600 di Sabah berikutan ketiadaan kad pemandu teksi. Di Semenanjung Malaysia, pembayaran bantuan itu disalurkan melalui kad pemandu teksi namun, di Sabah pemandu teksi tidak mempunyai kad sedemikian.
“Walaupun tiada kad pemandu teksi, bantuan kewangan ini tetap akan disalurkan kepada pemandu teksi di Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Chin berkata, pemandu teksi di negeri ini juga disaran supaya memohon kad pemandu teksi bagi memudahkan penyaluran bantuan pada masa akan datang.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Sabah mendakwa semua pemandu teksi di bawah persatuan ini belum menerima sebarang bantuan kewangan sejak April.
Tamat






