
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Papar: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat yang terbabas memasuki lorong bertentangan dalam kejadian di Kilometer 21, Jalan Papar Lama, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 22 tahun yang menunggang Motosikal jenis Honda Wave maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun bergerak dari arah Beaufort menuju ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun katanya, pacuan empat rodat jenis Isuzu DMAX berkenaan gagal dikawal selepas terlanggar takungan air di atas jalanraya sehingga menyebabkannya terbabas masuk ke lorong bertentangan.
“Ketika kejadian hujan sangat lebat dan kenderaan pacuan empat roda yang gagal dikawal terus terbabas dan merempuh motosikal mangsa.
“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
Manakala katanya, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak disyaki mabuk ketika kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya,” katanya.
Tamat








