
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: “Saya tidak gentar dan akan teruskan perjuangan demi rakyat dan Negeri Sabah,” tegas aktivis Gerakan Solidariti Orang Asal Sabah, Datuk Verdon Bahanda.
Aktivis terbabit yang sebelum ini pernah menganjurkan beberapa kempen menentang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerima ugutan bunuh itu menerusi laman facebook beberapa hari lalu.
Kenyataan ugutan bunuh yang menggunakan akaun Morres Malampo itu memaparkan gambar sepucuk pistol berserta peluru serta tulisan yang menyatakan ‘Verdon Halal Dibunuh’.

Verdon berkata, walaupun tidak mempunyai bukti jelas, namun beliau percaya kenyataan itu ditujukan kepadanya ekoran beberapa kempen yang dianjurkannya sebelum ini.
Katanya, semua kempen yang dianjurkan menerusi laman facebook sebelum ini amat jelas mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak berkaitan.
“Sejak akhir-akhir ini, saya banyak mengeluarkan kenyataan mengenai isu PATI antaranya meminta semua orang asal supaya bersatu menjaga hak rakyat Sabah.
“Ini termasuk kempen untuk memboikot barangan jualan atau perniagaan yang dijalankan oleh golongan pendatang asing,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Verdon berkata, selain itu, beliau turut meminta rakyat Malaysia supaya membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kawasan PATI.
Katanya, beliau tidak gentar dengan ugutan itu malah menjadikan beliau lebih bersemangat dan teruja untuk meneruskan perjuangan demi orang asal Sabah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan mengenai ugutan itu pada jam 4.02 petang, semalam.
Katanya, polis sudah mengambil kenyataan daripada mangsa dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyiasat perkara berkenaan.
“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Habibi berkata, pihaknya tidak mempunyai kepastian sama ada ia dikeluarkan oleh individu sebenar atau hanya menggunakan identiti palsu bagi mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Tamat



