Peter Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Lima Pertuduhan.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan RM8.75 juta di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu membuat pengakuan berkenaan dihadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Peter berdepan lima pertuduhan iaitu membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Manakala tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Semua kes pengubahan wang haram itu dipercayai membabitkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Mengikut fakta kes, Peter melakukan kesalahan berkenaan antara 25 Julai 2014 dan 7 Dis 2015 iaitu membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram secara tidak langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Dalam pertuduhan itu, Peter dikatakan mengarahkan individu tertentu memindahkan sejumlah wang berjumlah keseluruhan RM8.75 juta bagi semua lima pertuduhan.

Mahkamah membenarkan Peter diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.

Selain itu, beliau turut dikenakan dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekali dalam dua bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwaraya SPRM iaitu Ahmad Akram Gharib dan Nartia M. Sambatan.

Manakala Peter pula diwakili empat peguam iaitu Cedric Choo, Datuk Douglas Lim, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos.

Tamat