
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Sipitang: Seorang lelaki yang dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan dalam operasi di Kampung Mendulong, Sindumin, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang yang menjalankan pemantauan dan op tapis di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, suspek ditahan di tepi jalan kampung berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lelaki berkenaan memiliki bekas hijau bertulis “DOUBLEMINT”.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bekas berkenaan berisi keratan plastik dan lima keratan straw yang masing-masing berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah syabu berkenaan sebanyak 5.08 gram bernilai RM500 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Champin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu.
“Mohon kerjasama dari semua warga Sipitang menyalurkan maklumat dadah dan jenayah lain kepada IPD Sipitang,” katanya.
Sehubungan itu, Champin menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini supaya memaklumkan kepada pihak PDRM, untuk tindakan segera.
Tamat





