
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Penampang: Seorang maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Jalan Panglima Banting, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, empat sekeluarga terbabit yang menaiki Toyota Land Cruiser itu dikatakan bergerak dari arah Donggongon menuju ke Putra Pogun.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa berusia 62 tahun terbabas ke dalam longkang.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kenderaan pacuan empat roda berkenaan dinaiki empat sekeluarga berusia setahun hingga 62 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan daripada kecuaian pemandu kenderaan sendiri.
“Pemandu iaitu mangsa yang maut dikenali sebagai Ling Tai Ming dipercayai gagal mengawal dengan baik kenderaan sehingga terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke dalam longkang yang dinaiki air.
“Tiga penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala pemandu dikeluarkan dengan bantuan pihak Bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, pemandu yang dikhuatiri lemas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth yang tiba di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu kenderaan tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil untuk ujian kandungan alkohol dalam darah.
“Ketika kejadian, keadaan jalan dan cuaca amat baik.
”Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tamat





