
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: “Saya juga ingin bertanya kepada Dr.Yusof, adakah pemimpin Warisan termasuk Menteri-Menteri tidak melobi projek? Kerana ada di antara mereka menemui saya untuk berbincang soal projek,” itu antara persoalan yang ditimbulkan ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury bagi menjawab tuduhan Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.
Limus berkata, tindakan beliau keluar daripada UPKO bukan semata-mata kerana kontrak Lebuh Raya Pan Borneo, sebaliknya hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti UPKO yang tidak konsisten dalam perjuangan dan hala tuju.
Katanya, beliau juga mengakui sememangnya mempunyai kaitan dengan syarikat Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta.
“Saya tidak menafikan mempunyai kaitan dengan Perwira Progresif, syarikat yang saya usahakan sebelum dipilih menjadi Wakil Rakyat (ADUN Kuala Penyu).
“Ia adalah syarikat Bumiputera milik KDM (KadazanDusunMurut) yang mempunyai rekod serta kemampuan melaksanakan projek-projek yang diamanahkan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Limus berkata, syarikat miliknya itu layak untuk melaksanakan projek tersebut dan juga projek-projek lain menerusi proses tender yang ketat.
“Justeru tuduhan Dr.Yusof bahawa kerana kontrak ratusan juta menjadi punca saya tinggalkan UPKO adalah tidak berasas dan prejudis.
“Kerajaan Negeri Sabah termasuk UPKO tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dan masih menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru langkah terbaik yang perlu kami buat adalah meninggalkan UPKO demi kebaikan dan kemajuan rakyat dari kawasan kami,” katanya.
Limis berkata, sebagai salah seorang pemimpin kanan UPKO dan ADUN, beliau tidak pernah diberikan sebarang jawatan lantikan politik dalam kerajaan atau pun syarikat milik kerajaan.
“Sebaliknya majoriti semua jawatan-jawatan tersebut dibolot oleh pemimpin Warisan.
“Walaupun tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan, saya tetap berusaha dengan sedaya yang termampu, memberikan perkhidmatan terbaik dan membantu rakyat khususnya di kawasan yang saya wakili untuk membela nasib dan masa depan mereka dengan kemampuan yang ada.
“Perlu ditegaskan di sini, Kami bukan melompat, tetapi hanya keluar dari UPKO dan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.
“Kami juga tidak menyertai mana-mana parti politik yang ada setakat ini. Justeru, dakwaan melompat parti adalah tidak berbangkit,” katanya.
Tamat







