
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Semporna: Malapetaka yang menimpa ratusan penduduk Kampung Sri Aman, di sini, akibat kebakaran, baru-baru ini, terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen P189 Semporna.
Bantuan disalurkan Ketua Bahagian Mohd Daud Tampokong menerusi wakilnya yang juga Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simunul merangkap Ahli Jawatan Kuasa Bahagian Semporna, Bashir Mohd Shah.
Mohd Daud berkata, simpati dengan nasib yang menimpa semua mangsa kebakaran itu, pihaknya mengambil inisiatif untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.
Katanya, bantuan berupa barangan keperluan dikumpulkan seperti makanan, pakaian dan wang ihsan yang diserahkan kepada 68 ketua keluarga mangsa.
“Bantuan yang disampaikan kepada mangsa itu tidak mengira sebarang perbezaan termasuk fahaman politik, agama atau kaum mangsa terbabit.
“Ia adalah sebahagian tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan membela nasib kebajikan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Turut hadir pada majlis penyampaian berkenaan adalah Penolong Pegawai Kebajikan Daerah Razwa Raham, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Semporna Leftenan PA Hasan Jaafar.
Mohd Daud berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menyampaikan lagi bantuan lain mengenangkan rata-rata mangsa kebakaran adalah daripada mereka yang berpendapatan rendah.
Dalam kejadian kebakaran 4 Jun lalu, lebih 30 rumah dilaporkan musnah terbakar di Kampung Sri Aman.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kebakaran bagaimanapun hanya membabitkan kemusnahan harta benda dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tamat







