
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Labuan: Seorang wanita ditahan untuk siasatan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan atas talian membabit penjualan telefon bimbit, Isnin lalu.
Dalam tangkapan jam 4.30 itu, wanita tempatan berusia 30 tahun terbabit ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita terbabit disyaki terlibat dalam kes penipuan menerusi laman Facebook.
Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat tiga akaun bank milik suspek dilaporkan terbabit dalam kes penipuan di Kota Kinabalu, Sabah, Sarikei dan Mukah, Sarawak serta Pulau Pinang.
“Kerugian yang dialami oleh semua mangsa dilaporkan berjumlah keseluruhan hampir RM 15,000.
“Suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah ,IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” tegasnya.
Tamat







