
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Lahad Datu: Seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di kawasan Kebun Sawit, di Batu 15, Jalan Silam, di sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 3 petang itu, anggota Strike Team IPD Lahad Datu yang menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan menahan seorang lelaki selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek bertindak cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil kecekapan pasukan polis yang melakukan operasi akhirnya berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun terbabit.
Katanya, semasa pemeriksaan tubuh badan, suspek dengan sendirinya menyerahkan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Syabu yang dirampas dianggarkan seberat kira-kira lima gram bersama satu gunting kecil dan lima gulung kertas timah.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM750 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai kes jenayah lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952z
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Tamat









