
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut Datuk James Ratib meminta rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan tuduhan pihak pembangkang yang mendakwa kononnya cadangan menyeragamkan dokumen warga asing daripada Filipina kepada satu dokumen iaitu IMM13 adalah satu cubaan untuk memberikan kad pengenalan.
Menegaskan perkara itu, beliau berkata cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyeragamkan dokumen berkenaan adalah jalan terbaik untuk menghantar pulang warga asing berkenaan ke negara asal mereka.
“Saya telah berjumpa dengan Menteri KDN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beliau telah memberikan penerangan bahawa tujuan menyeragamkan dokumen kepada IMM13 kepada warga asing daripada Filipina itu bagi memastikan mereka dapat membuat pasport daripada kerajaan Filipina yang akan datang ke Sabah.
“Ia bukan seperti tuduhan pihak tertentu khususnya pembangkang yang mengatakan bahawa pemberian IMM13 adalah tiket mereka untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara sah di negara ini…tuduhan itu hanya bermotifkan politik dan tidak benar sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam proses menyeragamkan dokumen berkenaan kerajaan Malaysia akan memanggil pihak kedutaan Filipina untuk menemuramah pemeggang apa-apa dokumen di Sabah termasuk IMM13, bagi memasti sama ada mereka adalah benar-benar rakyat Filipina atau sebaliknya, sebelum mereka diberikan pasport Filipina.
“Kerajaan Filipina akan menemuhramah semua pemegang dokumen berkenaan berkenaan, termasuk mengenal pasti di mana lokasi mereka tinggal dan sebagainya untuk memastikan mereka adalah rakyat Filipina yang tulin.
“Apabila telah disahkan sebagai rakyat Filipina, kerajaan Filipina akan mengeluarkan pasport ,sebelum mereka di hantar balik ke negara jiran itu, atau mereka memilih untuk bekerja secara sah sebagai fakyat Filipina di Malaysia.
IMM13 adalah antara dokumen dikeluarkan kepada warganegara Filipina berstatus pelarian, selain beberapa dokumen lain seperti Sijil Banci dikeluarkan ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Kad Burung-Burung dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.
Mengulas lanjut James, berkata cadangan untuk menyeragamkan dokumen kepada IMM13 juga adalah disebabkan kerajaan Filipina tidak mengiktiraf dokumen lain termasuk sijil Banci dan Surat Burung-burung.
“Oleh itu saya berharap rakyat Sabah dapat memahami apa tujuan sebenar kerajaan melakukan perkara itu demi menyelasaikan isu warga asing yang sudah lama membelengu fikiran rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata apa yang dicadangkan KDN itu adalah sangat berbeza daripada pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“PSS adalah satu dokumen yang boleh diperbaharui setiap tiga tahun dan pemeggangnya tidak boleh mendapatkan pasport. Oleh itu ia berbeza dengan cadangan KDN pada masa ini untuk menyeragamkan dokumen untuk memastikan warga asing daripada Filipina mendapat pasport dan boleh dihantar balik ke negara asal,” tambahnya.







