
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Barisan pemimpin pemuda parti kerajaan Sabah menyokong penuh cadangan mengangkat Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
Langkah itu dilihat sebagai salah satu penyelesaian pergolakan kuasa politik Malaysia untuk mengembalikan mandat rakyat.
Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe yang berkata, rakyat Malaysia seharusnya mengingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 apabila ketiga-tiga pihak mengesahkan dan mengakui hak sama rata dan janji pembangunan bersama.
Namun katanya, selepas 57 tahun bersama, Negeri Sabah sudah ketinggalan dari aspek pembahagian kekayaan dan pembangunan yang tidak sama rata antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
“Ini bukan salah rakan kongsi, sebaliknya ahli politik tidak bertanggungjawab yang mengetepikan Sabah dan Sarawak.
“Kita berada di simpang jalan Malaysia, marilah bersatu hati dan menggunakan peluang mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media yang dihadiri Pergerakan Wira Warisan Sabah, Pemuda UPKO dan Pemuda Amanah.
Phoong berkata, barisan pemimpin pemuda Sabah sebulat suara menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
Katanya, beliau yakin Mohd Shafie adalah calon terbaik menyelesaikan masalah perkauman dan agama yang lama wujud di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UPKO Malaysia Felix Joseph Saang berkata, pergerakan itu menyokong penuh cadangan pemimpin dari Sabah diangkat sebagai Calon Perdana Menteri Malaysia.
Katanya, ini adalah satu penghargaan dan peluang keemasan untuk negeri Sabah menyusun kembali segala perjanjian yang gagal dilaksanakan antaranya termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita telah berjuang sekian lama supaya MA63, hak-hak dan kepentingan Sabah dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya. Inilah impian dan aspirasi rakyat Sabah selama ini.
“Pemuda UPKO secara dasarnya menyokong cadangan berkenaan dan berharap sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ia akan membawa sinar baru kepada negeri dan rakyat Sabah secara umumnya,” katanya.
Tamat







