
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sabah berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam di kedudukan 29 dan 32 Batu Nautika perairan Pulau Mengalum, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian 5.45 petang itu, kedua-dua bot berkenaan dikesan bergerak seiring dan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.
Bagaimanapun, ketika cuba dihampiri, kedua-dua bot dikesan terus memotong tali pukat dan cuba melarikan diri serta enggan memberikan kerjasama semasa diarahkan berhenti.
Difahamkan, kapal Maritim Malaysia terpaksa mengejar selama masa 30 minit sehingga kedua-dua bot akur mematuhi arahan untuk berhenti.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, sebaik ditahan, pemeriksaan bot pertama mendapati sijil pendaftaran bot berkenaan sudah tamat tempoh dan empat orang kru serta tekong bot juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, semua individu berkenaan berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun dan semuanya adalah warganegara Vietnam.
“Bot nelayan asing kedua juga didapati tamat tempoh sijil pendaftaran bot selain tidak mempunyai sebarang lesen ataupun kebenaran daripada Jabatan Perikanan bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Seramai 16 orang kru bot dan seorang tekong warganegara Vietnam yang ditahan berusia lingkungan 28 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot nelayan asing berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Jika sabit bersalah, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta setiap orang pemilik atau nakhoda dan RM600,000 untuk setiap anggota kru,”tegasnya.
Menurut Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot dan kru yang ditahan diiring balik ke Jeti APMM, Sepanggar dan diarahkan menjalani ujian saringan COVID 19 sebaik tiba.
Pegawai dan anggota maritim yang terbabit dalam operasi berkenaan juga turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid19 yang dijalankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Maritim Negeri Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai dan anggota perubatan daripada KKM atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya sudah menahan tiga bot belayan asing yang menceroboh masuk untuk mencuri kekayaan hasil laut perairan negara.
Katanya, Maritim Malaysia amat memandang serius kes pencerobohan perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadi dalang kepada aktiviti perikanan yang salah disisi undang-undang negara.
“Maritim Negeri Sabah memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat kejadian jenayah dan kecemasan di laut melalui talian 088-387774 dan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.
Tamat






