UPKO Pensiangan Masih Kukuh, Tidak Lumpuh: Ketua Bahagian

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Pensiangan masih kukuh kata Ketua Bahagiannya, Jubilin Kilan.

Menurut beliau, majoriti Ahli Jawatankuasa UPKO Pensiangan masih setia terhadap pucuk kepimpinan parti yang diterajui oleh Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Oleh itu kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dinyatakan oleh Parti STAR bahawa UPKO di Pensiangan sudah lumpuh namun hakikatnya kami masih utuh.

“Jadi hari ini, saya berserta seluruh AJK bahagian sekali lagi menyatakan pendirian kami untuk terus berdiri teguh bersama UPKO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Madius, di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang dan Setiausaha Eksekutif Ibu Pejabat UPKO, Jairaiaz Joseph.

Jubilin berkata, mereka bertekad untuk terus bersama UPKO berdasarkan perjuangan parti yang konsisten.

“UPKO sentiasa berjuang dalam membela hak-hak Sabah serta menjaga kepentingan rakyat termasuk masyarakat orang asal.

“Pendirian parti juga tidak berubah malah kini menjadi sebuah parti yang inklusif untuk semua kaum di negeri ini sekali gus menyemarakkan lagi semangat keharmonian di Sabah,” katanya.

Jubilin hadir bersama 25 AJK Bahagian termasuk sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Generasi Muda.

Sementara Madius ketika ditemui berkata, penghijrahan beberapa ahli UPKO Pensiangan ke STAR sebenarnya tidak menggambarkan situasi sebenar seperti yang diggembar gemburkan di media sosial.

“Saya telah menerima kunjungan hari ini, dan majoriti AJK UPKO bahagian masih setia bersama parti.

“Justeru AJK yang sedia ada tidak perlu disusun semula namun hanya perlu dibuat pelantikan semula untuk mereka yang telah berhijrah,” katanya.

Madius yang Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, alasan-alasan yang dinyatakan mereka untuk keluar parti hanyalah bermotifkan alasan politik semata-mata disebabkan terdapat niat-niat tertentu.

“Berkenaan kenyataan yang mengatakan 3,000 – 4,000 ahli yang keluar dari UPKO juga tidak berasas. Untuk makluman ketua keluarga di Daerah Nabawan sahaja bilangannya baru ada dalam 7,563 orang.

“Jadi kalau dikatakan sampai 3,000 – 4,000 ahli UPKO yang keluar daripada parti itu bererti parti-parti lain sudah tidak wujud di sana.

“70 peratus daripada kalangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 20 peratus Ketua kampung di Daerah Nabawan juga adalah ahli yang masih bertahan dalam UPKO,” tambah Madius.

Tamat