Pelajar Maut Dipercayai Terkena Renjatan Elektrik

Tiang lampu yang terletak di belakang gelanggang bola keranjang yang dipercayai kebocoran aliran elektrik.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain bola di Taman Bandar Sierra, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki berusia 16 tahun dikatakan bermain di gelanggang bola keranjang berkenaan dalam keadaan hujan renyai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati ketika bermain bola, mangsa dikatakan tergelincir sebelum terus terpegang tiang lampu di gelanggang berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dilihat tidak sedarkan diri sebelum tiba-tiba tercungap-cungap beberapa minit selepas itu.

“Beberapa rakan mangsa dan orang awam yang melihat kejadian berkenaan terus cuba membantu mangsa sebelum menghubungi ambulan untuk mendapatkan pertolongan kecemasan.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pihak hospital kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan dan turut mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 8 malam.

Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan bermain di kawasan berhampiran tiang lampu elektrik terutamanya di musim hujan.

Katanya, keadaan basah akibat hujan berpotensi menyebabkan kebocoran aliran elektrik terutamanya pada tiang lampu dan boleh mendatangkan membahayakan orang ramai.

Tamat