
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Kegiatan lapan penunggang motosikal yang mempamerkan pelbagai aksi ‘berani mati’ termasuk ‘superman’ dan ‘wheelie’ berjaya dikesan polis dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan, hari ini.
Aksi berani mereka yang menunggang motosikal secara melulu itu bukan saja mengancam nyawa sendiri tetapi juga dikhuatiri membahayakan pengguna jalan yang lain.
Namun akhirnya, semua suspek berusia 17 hingga 28 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di dua lokasi berasingan.
Ketua JSPT Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bermula jam 1.30 pagi di kawasan jejambat Tanjung Aru sehingga ke lampu isyarat Kepayan.
Katanya, polis mengesan sekumpulan enam lelaki menunggang motosikal melakukan pelbagai aksi yang melulu dan berbahaya.
“Mereka melakukan pelbagai aksi termasuk menunggang motosikal ala ‘Superman’ dan ‘wheelie’ selain melakukan aksi menduga kelajuan bersaing sesama sendiri.
“Mereka turut melakukan aksi berbahaya dengan menundukkan badan serta melakukan ‘Zig Zag’ pada kelajuan maksima,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, sebaik berjaya mengenalpasti mereka, kumpulan berkenaan didapati berhenti di kawasan jejambat lampu isyarat Tanjung Aru dan seterusnya diserbu pasukan polis untuk menahan semua suspek terbabit.
Sementara itu, Mohd Zamzuri berkata, operasi kedua dijalankan di sekitar Putatan, di sini, apabila tiga motosikal dikesan berlumba sesama sendiri.
Katanya, kumpulan berkenaan berlumba secara berbahaya sebanyak empat pusingan bermula dari lampu isyarat JKR Putatan hingga ke pusingan ‘U’ Kampung Ulu, Putatan.
“Pasukan polis kemudian mengekori motosikal berkenaan dan sebaik selesai berlumba, kumpulan berkenaan berhenti di hadapan sebuah restoran.
“Polis kemudiannya terus menyerbu dan menahan dua lelaki yang berlumba sebelum itu,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, semua lapan tangkapan itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
“Dalam operasi ini, polis turut menyita sembilan motosikal dan mengeluarkan sebanyak 27 keping saman,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Zamzuri berkata, operasi ini bertujuan mencegah dan memastikan kegiatan samseng jalanan atau lumpa haram di lokasi-lokasi ‘hotspot’ yang sering berlaku aktiviti lumba haram dapat dikekang dan dicegah.
tamat





