
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan selepas dikesan menggaji pekerja tanpa izin (PTI) warga Indonesia, semalam.
Kapal nelayan tempatan itu berjaya dikesan pada kedudukan 1.20 batu nautika timur Tanjung Tavajun, di sini, kira-kira 11 pagi.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengesan bot berkenaan ketika melakukan rondaan biasa di kawasan perairan daerah ini.
Katanya, sebaik ditahan, pasukan Maritim Malaysia terus melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seramai 19 warga asing berada di dalam kapal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 pekerja bot nelayan berkenaan adalah warga Indonesia dan semua mereka gagal mengemukan dokumen yang sah.
“Semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun dan mereka ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lesen bot yang digunakan juga disyaki tamat tempoh.
“Bot dan awak-awak kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985,” tegasnya.
Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, komuniti maritim diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian kecemasan di laut menerusi talian 088-387774 atau MERS 999.
Tamat








