
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sah dibubarkan berkuatkuasa hari ini selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.
Mohd Shafie berkata, beliau sudah bertemu dengan Tun Juhar pagi tadi bagi mendapatkan persetujuan berkenaan.
Katanya, pembubaran itu dibuat berdasarkan kuasa Yang Dipertua Negeri mengikut kepada perlembagaan Negeri Sabah.
“Saya berjumpa dengan Tun Juhar pagi ini dan atas kuasa Tun mengikut Perlembagaan Sabah beliau bersetuju untuk membubarkan DUN Sabah.
“Saya akan bertindak sebagai ‘caretaker’ untuk kerajaan ini sehingga Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan tarikh pilihanraya,”katanya pada sidang media, hari ini.
Sementara itu, keputusan pembubaran itu memadamkan dakwaan beberapa pihak kononnya bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas mendakwa memiliki majoriti mudah.
Dalam sidang media sebelum ini, Musa mendakwa mempunyai sokongan majoriti dan akan menubuhkan kerajaan bersama gabungan baharu termasuk beberapa ADUN dari kerajaan negeri.
Tamat




