PKR SABAH AKAN MUKTAMADKAN SENARAI CALON MINGGU DEPAN – CHRISTINA LIEW

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan menentukan senarai calon serta kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam mesyuarat minggu depan.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, senarai nama calon dan kawasan yang ditandingi itu akan diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk perbincangan peringkat seterusnya.

Katanya, perbincangan akan dilakukan dalam kalangan pemimpin-pemimpin bahagian PKR seluruh Sabah.

“Kita akan ada mesyuarat biro pilihan raya PKR Sabah terlebih dahulu. Selepas itu, keputusan mengenai calon dan pembahagian kerusi akan dihantar kepada ketua menteri.

“Bagi pihak PKR, kita akan berunding dengan pemimpin-pemimpin kami, lihat siapa dan di kawasan bertanding. Kita akan muktamadkan, seawal minggu hadapan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama penyokong akar umbi PKR di sini, hari ini.

Christina berkata, pihaknya juga akan melihat segala aspek sama ada akan meletakkan calon muka baharu namun ia terbuka kepada cadangan calon dari seluruh negeri.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14, PKR bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan hanya menang dua kerusi iaitu DUN Inanam dan Api-Api.

“Saya berharap PKR boleh memperoleh kemenangan di lebih tiga kerusi pada PRN kali ini.

“Selain kerjasama antara parti gabungan dalam Pakatan Harapan, PKR Sabah juga akan terus bekerja sebagai satu pasukan dengan Warisan dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),” katanya.

Christina berkata, ia bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada pilihan raya ini yang boleh disifatkan sebagai mencabar.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyandang kerusi DUN Inanam Kenny Chua yang menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Christina berkata, beliau amat kecewa, namun melihat tindakan itu tidak akan memberi impak kepada parti.

Tamat