
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Pemilihan calon yang setia kepada perjuangan lebih utama berbanding mereka yang berkaliber tetapi berpaling tadah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, itu antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan untuk menjadi calon bagi mewakili Parti Warisan Sabah, UPKO dan Pakatan Harapan
Katanya, mereka perlu memastikan calon yang bukan saja boleh menang, tetapi juga setia pada parti.
“Tidak ada gunanya kita letak calon yang ada kredibiliti mempunyai ijazah atau doktor, tetapi melompat ke parti lawan selepas menang.
“Kita perlu memastikan calon dan kerusi ditandingi juga bersesuaian bagi menjamin kemenangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan perjumpaan Warisan bersama UPKO dan PH, di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah).
Mohd Shafie berkata, Warisan dan rakan-rakan parti mementingkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan ahlinya bagi menghadapi pihak lawan.
Sehubungan itu, Mohd Shafie menegaskan, perbincangan antara Warisan – PH-UPKO dalam pembahagian kerusi sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.
Namun katanya, rundingan pembahagian itu dilakukan atas semangat setiakawan dan keupayaan untuk menang.
Sementara itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, partinya akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Katanya, selain itu, pihaknya juga akan meneruskan perbincangan menerusi majlis presiden antara ketiga-tiga parti bagi memutuskan pembahagian kawasan dan calon masing-masing.
Tamat






