Remaja Maut Diseret Lori 10 Tan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tuaran: Seorang remaja berusia 17 maut selepas diseret sebuah lori 10 tan dalam kejadian kemalangan di Jalan Marabahai – Serusup, berhampiran Simpang Marabahai Spurs, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai bergerak dari arah Tuaran menuju ke Gayang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 60 tahun dikatakan cuba membuat pusingan U menyebabkan mangsa yang keluar dari susur masuk arah ke Bulatan Kuda, gagal mengelak lori berkenaan.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa dikatakan terus melanggar lori berkenaan sebelum terseret di bawah lori.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, penunggang motorsikal yang terseret di bawah lori berkenaan  mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran yang hadir membantu di lokasi kemalangan.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian depan.

“Kedua-dua kenderaan di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tamat