Pemandu Traktor Maut Tersepit


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

BEAUFORT: Seorang pemandu traktor maut selepas tersepit pada jentera yang dipandunya dalam kejadian di Kampung Luagan Rampang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa berusia 40-an itu difahamkan gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas dan terjatuh ke dalam longkang.

Akibat kejadian itu, jentera berkenaan terbalik dan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.50 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 25 kilometer.

“Menurut Komander Operasi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Traktor Kobuto yang gagal dikawal sehingga terbabas sendiri masuk ke longkang.

“Seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, setakat ini identiti mangsa tidak dapat diperolehi dan mayat berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk 
tindakan lanjut.

“Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.30 petang selepas dipastikan kawasan kemalangan selamat dilalui oleh semua jenis kenderan lain,” katanya.

Tamat