BERSEMBUNYI DI LADANG SAWIT, PATI DITAHAN POLIS MARIN.


Tawau: Sebuah ladang sawit yang dipercayai dijadikan transit untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum menyusup masuk ke daerah ini diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, malam tadi.

Serbuan pada 10.30 malam itu dijalankan di sebuah ladang di batu 8, Jalan Tinagat oleh sepasukan anggota PPM menerusi Ops Gelora Khas.

Operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat dan risikan berkaitan kemasukan PATI di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan, Mohd Nazari Ismail berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan 12 individu dipercayai baru tiba dari negara jiran.

Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dewasa bersama lima wanita dan dua orang kanak-kanak perempuan masing-masing dalam lingkungan usia 2 hingga 45 tahun.

“Ketika ditahan, semua individu terbabit yang dipercayai batu tiba sedang bersembunyi di ladang sawit berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati semua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Nazari berkata, semua PATI berkenaan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan,” katanya.

Tamat