Permohonan Semakan Kehakiman Ditolak.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman yang dibuat 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung keputusan pembubaran DUN Sabah.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim selepas dua pendengaran permohonan semakan itu pada 7 dan 17 Ogos lalu.

Dalam permohonan berkenaan, semua 33 ADUN terbabit diwakili peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin serta Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diwakili Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh.

Manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan.

Semakan kehakiman itu menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Mohd Shafie selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.

Untuk rekod, semakan kehakiman itu difailkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN lain pada 4 Ogos lalu sebagai mencabar keputusan TYT dalam pembubaran DUN Sabah.

Pembubaran DUN itu diumumkan Mohd Shafie pada 30 Julai lalu selepas mendapatkan perkenan TYT untuk membubarkan DUN Sabah.

Sementara itu, Brenddon ketika ditemui berkata, keputusan ini berdasarkan Tun Juhar sebagai menggunakan kuasa budi bicara dan tidak boleh dicabar.

Katanya, mahkamah jelas menolak kes semakan kehakiman itu berikutan keputusan TYT tidak boleh diadili.

“Keputusan berkenaan tidak melanggar perlembagaan negeri dan cabaran pembubaran itu tidak terpakai di mahkamah,” katanya.

Manakala Tengku Fuad ketika ditemui berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Katanya, keputusan hari ini membawa kepada dua penemuan yang amat penting iaitu permohonan semakan kehakiman yang dibuat 33 ADUN itu mempunyai ‘locus standi’ (hak dari segi undang- undang).

“Kedua, Hakim menemukan perkara yang menunjukkan Datuk Seri Mohd Shafie hilang majoriti dalam DUN Sabah.

“Oleh itu, terdapat dua pilihan mengikut Artikel 71 sama ada beliau meletak jawatan atau meminta pembubaran,” katanya.

Bagaimanapun Tengku Fuad menegaskan, mereka tidak bersetuju penggunaan perkataan ‘menasihati’ dan ‘meminta’.

“Kita akan masukkan perkara ini di dalam permohonan rayuan kerana di Sabah kita tidak menggunakan perkataan menasihati dan meminta membawa maksud sama.

“Ia mungkin membawa maksud sama di negeri lain yang mempunyai sultan tetapi di Sabah adalah Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Tamat