Tuduhan Fitnah Berniat Jahat.


Kota Kinabalu: “Tuduhan yang mengatakan saya telah meluluskan Permohonan Tanah Syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd milik Tan Sri Musa Aman adalah fitnah dan berniat jahat,”

Demikian tegas bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal.

Osman berkata, baru-baru ini, timbul dakwaan Tan Sri Musa Aman yang dituduh memohon tanah seluas 20,000 ekar di kawasan Tongod Regional Study pada tahun 1997 dengan menggunakan syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd.

Katanya, syarikat berkenaan didakwa mempunyai tiga Pengarah Syarikat iaitu Musa bersama Datuk Ajit Galun dan Mohamad Sari Anuar Tan.

“Syarikat yang memohon tanah terbabit bukan milik Tan Sri Musa, sebaliknya dimiliki tiga Dewan Perniagaan iaitu Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah yang diwakili Musa, Dewan Perniagaan KDM yang diwakili Datuk Ajit Galun dan Dewan Perniagaan Cina Sabah yang diwakili Datuk Mohamad Sari Tan Anuar.

“Oleh itu, tuduhan mendakwa syarikat tersebut milik Tan Sri Musa tidak lebih daripada fitnah semata-mata.

“Saya pula dituduh meluluskan tanah kepada syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd seluas 20,000 ekar yang kononnya milik Tan Sri Musa,” katanya dlaam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Osman berkata, untuk makluman, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan seluas 20,000 ekar tanah, tetapi ebaliknya, kuasa itu adalah hak Kabinet Negeri Sabah.

Katanya, surat yang ditandatangani pula bukan kelulusan sebaliknya arahan pentadbiran memproses permohonan tanah yang lazimnya ditujukan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah di daerah yang berkaitan.

“Permohonan tanah berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri menerusi Kabinet Negeri kepada syarikat berkenaan manakala geran tanah turut dikeluarkan dan didaftar.

“Kawasan berkenaan kemudiannya diukur oleh Jurukur Berlesen yang dilantik oleh Syarikat berkenaan. Mengikut pengesahan hasil ukur oleh Jurukur Berlesen, semua kawasan hak Tanah Adat  penduduk kampung di kawasan berkenaan dikeluarkan dari kawasan syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd,” katanya.

Sehubungan itu, Osman menegaskan Tan Sri Musa bukan marah atau cemburu kerana Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal rajin mengeluarkan geran kepada penduduk kampung.

Sebaliknya katanya, apa yang dibangkitkan Tan Sri Musa dan pihak pembangkang adalah teguran kerana Mohd Shafie mengaku dan mengelirukan rakyat bahawa semua itu adalah hasil usaha Kerajaan Warisan.

“Kerajaan Warisan sekali lagi berbohong dan mengaku kononnya merekalah yang prihatin terhadap nasib penduduk kampung dalam menyegerakan pengeluaran geran kepada mereka dalam masa 2 tahun dan menuduh Kerajaan BN yang memerintah selama 23 tahun gagal menangani isu geran.

“Hakikatnya, geran yang diberi oleh Mohd Shafie adalah legasi kerajaan BN dibawah kepimpinan Tan Sri Musa melalui kaedah Pemberimilikan Tanah Terancang ‘ Fast Track ‘ untuk pengeluaran Geran Komunal, d bawah pindaan Seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada tahun 2009,” katanya.

Osman menegaskan, Kerajaan BN melalui penubuhan PANTAS pada tahun 2011 juga mengeluarkan hakmilik Tanah Adat kapada penduduk Kampung dan dalam masa yang sama juga menjalankan pengukuran ‘ sub division ‘ Geran Komunal di bawah Seksyen 77 Ordinan Tanah untuk setiap ‘Benifisiari ‘ yang memilih untuk membangun sendiri lot mereka.

“Perbelanjaan untuk kos pengukuran dan pengurusan PANTAS dibiayai melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu adalah wajar bagi Musa menegur Mohd Shafie yang mendakwa semua geran yang disampaikan kepada orang kampung adalah hasil usaha mereka,” katanya.

Tamat