Hentikan Drama Politik, Keperluan Rakyat Perlu Diutamakan.


Kota Kinabalu: Drama politik Sabah yang berterusan sejak sekian lama perlu dihentikan, ini berikutan masih banyak keperluan rakyat yang perlu diselesaikan segera.

Jan Chow yang berhasrat untuk bertanding sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berkata, wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia memberikan impak yang cukup teruk kepada ekonomi tempatan di Sabah.

Katanya, kita harus sedar, masyarakat amat terjejas dan menderita ketika ini sehingga ramai yang terpaksa berusaha untuk bertahan melepasi tempoh tekanan ekonomi yang ada.

“Sudah cukup, hentikan sekarang dengan drama politik Sabah yang berterusan, ini kerana masih banyak keperluan rakyat masih belum dapat dicapai.

“Ramai individu yang disebut sebagai “pemimpin” berjuang secara sembrono untuk kepentingan mereka sendiri. Oleh itu, rakyat perlu menggunakan kuasa pengundian untuk menyatakan kekecewaan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Chow berkata, rakyat perlu gunakan kuasa pengundian untuk menamatkan karier politik mereka melalui pilihan raya ini.

Sebagai contoh Katanya, Musa dan kroninya berusaha keras untuk menghentikan pilihan raya namun apa yang jelas, mereka sebenarnya tahu rakyat sudah menolak mereka pada pilihan raya lalu dan pastinya akan menolak mereka sekali lagi ketika ini.

“Mereka seolah-olah tidak peduli sama ada tindakan mereka itu disukai oleh rakyat atau tidak. Mereka menyerang ketua menteri, Datuk Seri Shafie Apdal kerana memberikan hak milik tanah dan mengubah pemberian 99 tahun menjadi 999 tahun kepada rakyat.

“Anda sepatutnya boleh melakukan tindakan sama beberapa dekad yang lalu jika anda mahu, tetapi secara jelasnya tidak ada usaha dilakukan,” katanya.

Chow berkata, apa yang jelas, kumpulan pemimpin ini tidak mahu melihat rakyat mendapat manfaat yang sepatutnya.

Oleh itu katanya, beliau menyokong penuh tindakan Peguam Cyrus Das yang mewakili Mohd Shafie dan kerajaan Sabah atas pembubaran DUN berkenaan.

“Tidak kira apa kesalahan prosedur itu atau cara tidak profesional yang mereka lakukan (pembubaran DUN). Apa yang penting, itulah yang rakyat mahukan.

“Kami mahu pilihan raya negeri. Biarkan rakyat memutuskan siapa yang layak menjadi pemimpin. Izinkan saya mengingatkan anda, kami pembayar cukai adalah ‘bos’ anda!,” tegasnya.

Tamat