PPM SANDAKAN BERJAYA TAHAN TEKONG BAWA PATI.

SANDAKAN: Seorang juragan bot laju bersama pembantunya ditahan selepas didapati membawa empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan Kuala Sungai Batu Putih, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, empat PATI termasuk seorang bayi berusia setahun didapati cuba menyeludup masuk ke negara ini dari Filipina dengan bayaran RM150 setiap seorang.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai yang bertugas dalam Ops Gelora Khas berjaya menahan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan pada awal pagi tadi.

Katanya, bot laju berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dan seorang lagi pembantunya berumur 34 tahun warganegara Filipina.

“Ketika ditahan, kedua-dua lelaki terbabit disyaki sebagai tekong laut bersama empat penumpang warganegara Filipina.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua penumpang mengaku datang dari Filipina dengan membayar sejumlah wang iaitu sebanyak RM150 setiap penumpang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, semua mereka yang ditahan membabit juragan, pembantunya bersama dua penumpang lelaki berusia 40 dan 21 tahun serta seorang wanita berusia 20 tahun dan seorang bayi perempuan.

Katanya, semua tahanan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Turut dirampas sebuah bot laju bersama enjin 30 kuasa kuda serta beberapa barang dan pakaian peribadi mereka.

“Nilai rampasan bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM15,000. Tangkapan dan rampasan dibuat kerana melakukan kesalahan menyeludup migran dari negara jiran ke negara Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran,” katanya.

Rusdin berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua.

Tamat