Lima Kawasan Dikenalpasti Sebagai Punca Banjir

Kota Kinabalu: Lima kawasan utama membabitkan sungai sekitar Kota Kinabalu dan Penampang perlu dinaiktaraf selepas dikenalpasti menjadi punca masalah banjir.

Bakal calon DUN Api-Api untuk Gagasan Calon Bebas Sabah, Sim Sie Hong berkata, kelima-lima lokasi itu dikenalpasti penyebab banjir di kawasan Menggatal, Telipok, Luyang, Deh Yeh, Lido dan kawasan Donggongon.

Katanya, mengikut kajian yang dijalankan sebelum ini, antara yang perlu dilakukan adalah pembesaran muara Sungai Inanam, Darau, Sungai Sembulan, Sungai Petagas dan Sungai Putatan serta naiktaraf tebatan banjir dan stesen pam air di Likas.

“Selain proses mendalamkan sungai, kita juga memerlukan pembinaan tebatan banjir dan melancarkan aliran air sungai untuk mengelakkan kejadian takungan air sehingga menyebabkan banjir.

“Sistem perparitan yang ada ketika ini juga tidak mampu menampung jumlah air hujan sekiranya berlaku hujan ribut sehingga menyebabkan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Sim berkata, punca banjir lain pula adalah berkaitan keadaan pasang surut air laut kerana Kota Kinabalu adalah bandar pesisir yang mana semua saliran air keluar ke laut.

Katanya, hujan ribut dan ditambah pula dengan air laut pasang akan menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan cepat dan menyebabkan banjir.

”Untuk mencari langkah penyelesaiannya, kita perlukan laporan penyiasatan secara terperinci oleh golongan professional di kawasan yang kerap banjir.

“Pembangunan di kawasan bandar tidak dapat dielakkan kerana ia seiring dengan pertambahan populasi yang memaksa pembukaan lebih banyak tanah.

“Ia sekaligus menyebabkan gangguan ekosistem sehingga menjejaskan aliran air tanah dan permukaan sehingga menyebabkan banjir setiap kali hujan lebat,” katanya.

Sim berkata, apa yang lebih penting ketika ini, adalah setiap wakil rakyat atau menteri yang dipilih perlu bekerjasama dengan pihak berkaitan dan mengakui setiap kesilapan sebelum berusaha menyelesaikan sesuatu masalah.

“Saya sangat berharap agar pemimpin negeri selepas ini sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang cadangan dari golongan profesional dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Sekiranya pembiayaan projek tidak dapat diperolehi dari kerajaan Persekutuan atau Negeri, sebenarnya masih terdapat banyak jalan atau model perniagaan lain yang boleh diterokai untuk mencapai hasil terbaik demi rakyat.

“Itulah sebabnya kita memerlukan lebih banyak orang profesional yang memahami masalah teknikal untuk mewakili rakyat sebagai Wakil Rakyat yang sebenar,” katanya.

Tamat