
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan penularan COVID-19 untuk Kluster Benteng LD yang sebelum ini hanya dalam kalangan tahanan kini sudah menular kepada masyarakat.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi dalam kenyataan medianya berkata, setakat ini terdapat enam orang awam yang dikesan positif melalui saringan kontak rapat kes.
Katanya, daripada 167 kes COVID-19 yang dilaporkan di Daerah Tawau hari ini, enam kes adalah membabitkan orang awam.
“Ini membabitkan kes ke 741, 746 hingga 749 dan kes ke 752 iaitu orang awam yang dikesan positif melalui saringan kontak untuk kes ke-434.
“Kes ke-746 hingga ke-749 dilaporkan menghadiri program yang turut dihadiri oleh kes ke-434. Kes ke 741 dan ke 752 pula bekerja di premis yang pernah dilawati oleh kes ke-434,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Christina berkata, ini menunjukkan penularan jangkitan COVID-19 yang pada mulanya dikesan dalam kalangan tahanan kini sudah menular dalam kalangan masyarakat.
Katanya, dengan pertambahan tiga digit kes positif di Sabah hari ini, Kluster Benteng LD kini merekodkan jumlah seramai 337 kes.
“Setakat ini seramai 1,584 orang dibawah siasatan meliputi Daerah Tawau dan Lahad Datu yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19,”tegasnya.
Tamat








