Pasangan Kekasih Bersama Tiga Rakan Ditahan.

Kota Kinabalu: Pasangan kekasih bersama tiga rakan yang sedang leka membungkus dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Telipok, di sini, ditahan polis, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, kelima-lima suspek berusia 22 hingga 40 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dijalankan, terdapat lima individu di dalam rumah terbabit termasuk seorang wanita yang sedang leka membungkus dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebanyak 66 peket berisi dadah jenis syabu seberat 211.03 gram dan 0.85 gram ganja dianggarkan bernilai RM21,146 mengikut harga pasaran.

“Polis turut merampas beberapa barangan serta peralatan yang digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, hasil siasatan mendapati rumah yang diserbu digunakan sebagai tempat untuk membungkus dadah.

Katanya, siasatan mendapati rumah berkenaan dipilih untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan pelanggan juga akan datang ke rumah itu untuk mendapatkan sendiri bekalan dadah serta menyediakan perkhidmatan untuk menagih dadah di rumah berkenaan.

“Suspek akan mendapatkan bekalan dari pengedar utama di luar sebelum membungkusnya dalam kuantiti tertentu dan akan dijual dengan harga bermula RM50.

“Kumpulan ini yang dikesan aktif sejak awal tahun lalu adalah sebagai pengedar kecil-kecilan yang aktif di kawasan Inanam dan Manggatal. Smua yang ditahan berperanan sebagai pembungkus yang mendapat upah sebanyak RM250 sehari.

“Wanita yang ditahan adalah kekasih kepada salah seorang suspek dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Habibi berkata, suspek kini direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tamat