
BONGAWAN: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan menerima kehadiran Parti Liberal Demokratik (LDP) sebagai sebuah parti yang membawa semangat baharu di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calonnya, Mohd Azree Abd Ghani berkata, semangat baharu itu bersesuaian dengan lambang obor berlatarbelakang warna oren terang pada bendera LDP yang berkibar di sekitar kawasan ini sejak kempen bermula dua hari lalu.
Beliau berharap, semangat yang ditunjukkan itu berterusan sepanjang kempen seterusnya yang berbaki 12 hari lagi sebelum tiba hari penentuan pada 26 September ini.
“Alhamdulilah, semangat obor kini menerangi Bongawan. Setiap hari semakin ramai mahu mengenali dan menunjukkan minat terhadap LDP yang memperjuangkan pembaharuan menyeluruh di Sabah termasuk di Bongawan.
“Rakyat Bongawan jangan lagi terpengaruh dengan dakyah parti lama dan pemimpin lama yang sebelum ini pernah diberi peluang tetapi tidak banyak pembaharuan dilakukan mereka.
“Mari kita bersama-sama pada PRN ini melakukan perubahan menyeluruh, kita tukar pemimpin dan parti lama itu dengan LDP, saya percaya kita akan dapat melihat perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Katanya, walaupun hujan lebat sejak dua tiga hari kebelakangan ini sedikit menjejaskan aktiviti kempen, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendekati rakyat Bongawan di setiap kampung.
“Kempen diteruskan bermula dari Kampung Tengah, ke Biau Sri Serbang, Kampung Tarap, Nyaris-Nyaris dan beberapa lagi kawasan di DUN Bongawan.. alhamdulillah semua berjalan dengan lancar.
“Aktiviti ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya semua rakyat di Bongawan tahu apa yang sebenarnya LDP mahu tawarkan kepada mereka. Masa depan Bongawan terletak di tangan kita semua, jadi kita perlu bijak membuat pilihan, jangan lagi terpedaya seperti dulu-dulu,” katanya.
Jelasnya, jika mandat diberikan kepadanya, tiada kelompok yang akan dipinggirkan, sebaliknya semua rakyat kawasan itu akan dibela sama rata tanpa mengira etnik dan agama.
Mohd Azree, 29 adalah antara calon orang muda yang diberi kepercayaan oleh LDP untuk menggalas cabaran parti itu dalam misi untuk membentuk kerajaan baharu yang akan mengubah masa depan Sabah.
Beliau berdepan saingan empat penjuru di Bongawan menentang Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman, calon Warisan, Dr Daud Yusof dan calon Barisan Nasional (BN).
tamat





