Cadangan Menghentikan Beberapa Operasi

KOTA KINABALU: Susulan peningkatan drastik kes positif Covid-19 sejak beberapa hari lalu, Kerajaan Sabah akan menghentikan semua operasi perniagaan kecuali membabitkan perkhidmatan dan barangan perlu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagaimanapun berkata, cadangan itu tertakluk kepada kelulusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kerajaan juga bercadang menutup semua sekolah termasuk taska, pusat jagaan, tadika dan tabika.

“Kerajaan memutuskan penutupan semua pasar raya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan perlu, tidak membenarkan ‘dine in’ di restoran dan kedai makan serta gerai makan.

“Semua tamu, pasar malam dan pasar tani, rumah ibadat seperti masjid, surau, gereja, tokong dan lain-lain juga akan ditutup kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan supaya semua Taman Awam, pusat rekreasi, taman permainan dalam dewan atau terbuka dan perpustakaan turut ditutup.

Selain itu katanya, kapasiti perkhidmatan bas penumpang juga diarahkan dikurangkan sebanyak 50 peratus manakala kenderaan persendirian dihadkan kepada dua orang.

“Stesen Kuarantin yang diwartakan sebagai pusat wad tambahan atau rawatan pesakit juga dikuatkuasakan.

“Kerajaan negeri berharap perkara ini dipersetujui dan diluluskan MKN dan penguatkuasaannya serta-merta hingga 16 Oktober,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 kerajaan negeri memutuskan pelaksanaan kawalan pergerakan rentas daerah bermula 3 hingga 16 Oktober.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pesakit dirawat di wad ketika ini seramai 1,206 orang dalam tempoh 1 Oktober hingga semalam.

tamat