Pergaduhan Pasar Malam Keningau. Tiga Ditahan.


Keningau: Dua cedera dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di kawasan pasar malam di pekan daerah ini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, insiden dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara dua beranak dengan seorang lelaki.

Bagaimanapun, beberapa rakan mereka yang bertindak masuk campur dalam pergaduhan berkenaan menjadikannya lebih besar sehingga mencetuskan huru hara di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis menjalankan siasatan dan menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit berjaya ditahan pada malam hari kejadian di sekitar pekan Keningau.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu akibat perselisihan faham dua beranak dengan seorang lelaki hingga tercetusnya pergaduhan itu.

“Dua beranak terbabit cedera di kepala dan perut dipercayai dipukul menggunakan objek keras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pihaknya masih menjalankan siastaan lanjut dan kemungkinan ada tangkapan lain yang akan dilakukan.

“Siasatan masih diteruskan dan beberapa individu sudah dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi empat minit 38 saat yang tular di media sosial Facebook sejak pagi tadi menunjukkan dua beranak terbabit bergaduh dengan sekumpulan lelaki sambil membaling barang di kawasan pasar malam berkenaan.

Aksi kejadian itu turut menunjukkan barang jualan di pasar malam bertaburan dan beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan dilihat membantu dan meleraikan keadaan.

tamat