
Kota Kinabalu: Tujuh individu dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua individu terbabit diambil tindakan semasa pelaksanaan operasi bermula jam 12 tengah malam pada 7 Oktober lalu.
Katanya, sejak Sekatan Jalan Raya (SJR) di dua kawasan yang dilakukan, sebanyak 5,880 kenderaan dinaiki 6,930 orang awam diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 53 kenderaan diarahkan berpatah balik selepas tidak mempunyai kebenaran pihak polis untuk merentas daerah.
“Tujuh individu turut dikenakan kompaun selepas gagal mematuhi SOP ditetapkan termasuk tidak memakai pelitup muka di kawasan awam dan bergerak melebihi dua individu di dalam kenderaan serta gagal memberikan alasan munasabah kepada polis.
“Polis juga mengeluarkan 22 saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pengguna jalan yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjuan SJR di Anjung Malawa, Sepanggar, hari ini.
Habibi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang enggan mematuhi SOP ditetapkan dan tidak teragak-agak untuk melakukan tangkapan.
“Disebabkan peningkatan penularan Covid-19 yang agak ketara kini, polis akan menjalankan tindakan tegas dengan memberikan kompaun secara langsung kepada individu ingkar manakala tangkapan akan dilaksanakan kepada masyarakat yang degil dengan pematuhan SOP norma baharu kini,” katanya.
Dalam pada itu, Habibi berkata, IPD Kota Kinabalu mempunyai keseluruhan 1,220 keanggotan yang akan bertugas di sembilan balai keseluruhan termasuk Inanam, Manggatal, Tanjung Aru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Karamunsing, Pulau Gaya dan Alamesra di sini.
“Seramai 20 peratus daripada keanggotaan ini ditugaskan di pejabat manakala sebahagian akan ditugaskan untuk pencegahan jenayah dan selebihnya akan melaksanakan penugasan pencegahan Covid-19 di sekitar daerah ini.
“Dua pasukan pemantau akan disiap siaga di setiap balai untuk memastikan masyarakat patuh sepenuhnya kepada SOP PKPB,” katanya.
tamat





