PENEMUAN PELURU LAMA DIPERCAYAI PENINGGALAN PERANG DUNIA KEDUA


Labuan: Seorang pekerja pembersihan Perbadanan Labuan terkejut selepas menemui beberapa objek dipercayai peluru lama di tandas awam, Anjung Ikan Bakar, Kampung Lubok Temiang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, pekerja wanita terbabit mendakwa menemui peluru berkenaan ditinggalkan di atas lantai ketika melakukan rutin pembersihan di tandas awam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, sebanyak 22 butir peluru berukuran 7.62 mm dan dua butir lagi berukuran 20 mm ditinggalkan di atas lantai tandas berkenaan.

“Keadaan peluru yang masih disaluti tanah dan berkarat dipercayai dijumpai di tempat lain sebelum ditinggalkan di tandas berkenaan.

“Semua peluru berkenaan dipercayai peninggalan perang dunia kedua dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Muhamad Farid menasihatkan mana-mana individu yang menjumpai objek yang mencurigakan perlu segera memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku termasuk mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.

Tamat